
CHEK YAH TERHARU, JASA DAN BAKTI MASIH DIKENANG
SERI NEGERI 25 Ogos – “Ini adalah pencapaian tertinggi buat saya selepas lebih 30 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, malah saya tidak sangka dikurniakan penghargaan sebegini,” kata penerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L) Chek Yah Hamzah.
Chek Yah,60, antara tiga penerima P.K.L pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini hari ini.
Menurut pesara kerajaan itu, dia berkhidmat sebagai pembantu operasi selama 30 tahun 3 bulan sebelum bersara pada 2024 dengan Kementerian Luar Negeri menjadi tempat terakhir dirinya bertugas.
Katanya, sepanjang dalam perkhidmatan dia tidak pernah terfikir untuk mengharapkan balasan sebaliknya memberi sepenuh komitmen dan melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Sudah pasti saya bersyukur dan gembira dengan penganugerahan ini, namun begitu jauh di sudut hati amat terharu kerana ada pihak menghargai bakti ditabur selama ini.
“Pingat yang dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, merupakan penghargaan buat diri dan menjadi cerminan komitmen sepanjang bergelar penjawat awam,” katanya ketika ditemui di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu pada istiadat sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron menjadi antara 51 penerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) membawa gelaran Datuk.
Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, sudah pasti jutaan terima kasih dizahirkan kepada Tun Dr. Mohd Ali kerana sudi menganugerahkan pingat kepadanya.
“Sebagai individu yang diberi tanggungjawab, kita haruslah jujur dan ikhlas dalam menunaikan amanah. Insya-Allah walaupun sudah tidak lagi berkhidmat, saya akan memegang anugerah ini sebagai amanah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.