
‘HADIAH UNTUK SELURUH WARGA MPHTJ’
SERI NEGERI 25 Ogos – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHT) Datuk Sapiah Haron, menganggap anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) diterimanya sebagai satu bentuk pengiktirafan buat seluruh warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
Katanya, warga kerja MPHTJ sentiasa memberikan komitmen berterusan terutama dalam bersama-sama memeriahkan dan menjayakan pelbagai program anjuran Kerajaan Negeri yang memberikan impak serta pulangan kepada rakyat Melaka.
“Alhamdulillah, rezeki saya menerima anugerah D.P.S.M. terima kasih saya ucapkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Anugerah ini bukan untuk saya seorang, tetapi dikongsi bersama seluruh warga kerja MPHTJ kerana tanpa kerjasama mereka saya tidak berada di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima penganugerahan itu pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, hari ini.
Menurut Sapiah, MPHTJ sentiasa memastikan perkhidmatan diberikan berada pada tahap terbaik selain terus bersaing dengan PBT lain yang bukan sahaja melibatkan peringkat negeri atau kebangsaan tetapi juga antarabangsa.
“Insya-Allah September ini MPHTJ akan menerima satu lagi anugerah peringkat ASEAN berkaitan alam sekitar dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang akan disampaikan di Langkawi. Kami akan pastikan setiap penyertaan tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi dengan senyuman dan kemenangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.