
‘PEGANG IKRAR JAGA KESELAMATAN MASYARAKAT’
SERI NEGERI 25 Ogos – “Penganugerahan ini menjadi pemangkin buat saya untuk terus berbakti dengan lebih komited, sekali gus memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga,” kata mantan Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Komisioner Mohamad Rusli Mat.
Mohamad Rusli kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, antara 57 penerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Rusli, penganugerahan diterima merupakan penghormatan besar dalam kerjayanya sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dijadikan sebagai motivasi untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada negara.
“Pertamanya sudah pasti saya ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam atau kesudian menganugerahkan bintang kebesaran ini kepada saya.
“Semua ini juga adalah atas dasar kepercayaan dan sokongan diberikan oleh Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar kepada saya sepanjang berkhidmat di Jasin. Sebagai penjawat awam saya berikrar akan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kerana penganugerahan ini merupakan amanah,” katanya.
Katanya, penganugerahan yang dikurniakan secara tidak langsung meningkatkan lagi tahap motivasi penjawat awam khususnya untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang dan komited.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.