Sorting by

×

1,000 DRON HIASI LANGIT MELAKA SEMPENA WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Melaka bakal membawakan persembahan menarik di darat, laut dan udara bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang yang dijadual berlangsung 27 hingga 29 September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara tarikan utama adalah persembahan istimewa membabitkan sebanyak 1,000 dron yang akan menghiasi langit Melaka, selain membentuk formasi yang menggambarkan imej Malaysia dan pelancongan.

Menurut beliau, semua itu dibawakan khas bagi menyambut lebih 155 pemimpin pelancongan dunia bersama delegasi yang akan ‘berkampung’ di bumi bersejarah dalam persidangan yang bertemakan Tourism and Sustainable Transformation.

“Pertunjukan ini (dron) diharap akan menjadi satu projek rintis dalam sektor pelancongan dan ia bermula di Melaka.

“Jadi, saya harap semua dapat memenuhkan Melaka dan melihat bagaimana dunia menghargai Melaka menerusi acara pelancongan global ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di Selamat Pagi Malaysia menerusi segmen Melaka Pentas Dunia: Dari ASEAN ke Pelancongan Global Bersama YAB Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Selain persembahan dron, Ketua Menteri memaklumkan, Melaka juga bakal membawakan pentas menarik berlatarbelakangkan Selat Melaka, khas buat delegasi yang hadir.

Jelas beliau, pentas di pesisir pantai di sekitar Klebang itu diilhamkan kerana Selat Melaka merupakan antara selat tersibuk di dunia yang dilintasi lebih 80,000 kapal setiap tahun.

“Sudah pasti akan ada pelbagai persembahan kebudayaan yang ditampilkan termasuklah membabitkan artis terkenal tanah air.

“Pada masa sama, kita juga akan mengadakan majlis makan malam di tepi pantai Selat Melaka yang dipanggil ‘Sunset Dinner’. Diharap semua delegasi yang hadir akan dapat melihat bagaimana indahnya Malaysia dan Melaka,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post MENTERI ASEAN ‘BERKAMPUNG’ DI MELAKA BINCANG JENAYAH RENTAS SEMPADAN
Next post WTD 2025: MELAKA PERKENAL ‘BAHASA SENI ASEAN’ BAHARU MENERUSI ZAPIN