Sorting by

×

TAPEM SEDIA BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Ogos – Seramai 26 anak jati Melaka dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, bakal melangkah ke menara gading menerima manfaat hasil bantuan pendidikan disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, secara keseluruhan bantuan fasa kedua bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM11,200.

Katanya, pada fasa pertama lalu seramai 40 orang telah menerima bantuan, manakala fasa ketiga dijadualkan pada Oktober depan dijangka melibatkan lebih ramai anak-anak DUN Durian Tunggal.

“Sebenarnya masih ramai ibu bapa tidak tahu mengenai inisiatif disediakan TAPEM yang dilaksanakan demi kecemerlangan akademik anak-anak Negeri Melaka. Jadi kepada anak Melaka ditawarkan peluang melanjutkan pengajian, tetapi mungkin keluarga kurang berkemampuan boleh memohon bagi mendapatkan bantuan ini.

“Tetapi tempoh permohonan hanya enam bulan, sementara itu anak Melaka pertama kali melanjutkan pengajian peringkat diploma boleh terus berhubung dengan TAPEM bagi mendapatkan borang serta membuat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Universiti di Japerun Durian Tunggal, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Tadbir dan Operasi TAPEM, Siti Nur Faizah Mohamad Kassim.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berharap ibu bapa memanfaatkan inisitif itu yang diwujudkan bagi meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos pendidikan anak-anak mereka.

“Jika keluarga itu mempunyai tiga orang anak yang melanjutkan pengajian, semuanya layak menerima bantuan asalkan mereka anak kelahiran Melaka.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan TAPEM kerana membantu anak-anak dalam DUN Durian Tunggal. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit bebanan ibu bapa terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

777
Kongsi :
Previous post MELAKA PUSAT KEMBANGKAN PRODUK PELANCONGAN NEGARA
Next post MENARA TAMING SARI MARTABATKAN PERMAINAN TRADISIONAL