LAGA BADAI SELAT MELAKA HIMPUN LEBIH 500 PESILAT

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 23 September – Lebih 500 pesilat dari pelbagai perguruan dalam dan luar negara menyemarakkan penganjuran Laga Badai Selat Melaka Tanjung Bidara, sekali gus mengangkat seni persilatan sebagai warisan budaya yang merentasi sempadan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, kelainan penganjuran kali ini adalah pemilihan Pantai Tanjung Bidara sebagai lokasi program yang memberi inspirasi kepada konsep Laga Badai Selat Melaka.

Menurutnya, program itu menghimpunkan enam perguruan silat dari Parlimen Masjid Tanah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selain perguruan silat dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Selat Melaka mempunyai kaitan erat dengan sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi antara laluan perdagangan terpenting di rantau ini selain turut menjadi saksi bisu kepada kegemilangan Kesultanan Melaka.

“Ini adalah kelainan untuk penganjuran persilatan kali ini. Sebelum ini kita pernah adakan beberapa kali pertandingan tetapi disebabkan lokasi kali ini di Pantai Tanjung Bidara, kita mengambil inspirasi dari Selat Melaka.

“Untuk penganjuran ini lebih 500 pesilat dari pelbagai perguruan termasuk bersama-sama menjayakannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah Laga Badai Selat Melaka Tanjung Bidara yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Pantai Tanjung Bidara, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat serta lain-lain kenamaan.

Menurut Erne, penganjuran kali ini mempertandingkan empat kategori iaitu Puteri Solo, Putera Solo dan Wira Laga selain persembahan silat serta pameran keris dan senjata Melayu.

“Penyertaan perguruan silat dari tiga negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia membuktikan seni silat mempunyai nilai warisan yang mampu menyatukan masyarakat serantau.

“Walaupun penyertaan antarabangsa kali ini membabitkan tiga negara berdekatan, ia menjadi langkah awal untuk kita memperluaskan penganjuran pada skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Erne menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang mahu menjadikan Melaka sebagai lokasi Perhimpunan Seni Silat Nusantara.

“Hasrat Ketua Menteri untuk mengadakan Himpunan Silat Nusantara pada tahun hadapan memang ada dalam perancangan PERZIM dan apabila ia disambut baik oleh beliau, ini amat baik.

“Tahun depan kita akan perluaskan lagi penyertaan dengan membabitkan negara nusantara lain supaya lebih banyak perguruan dan pesilat dapat berhimpun di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post BANGGA KAMPUNG PULAU SEMAKIN DIKENALI SELEPAS ANAK JATI TERAJUI MELAKA