Sorting by

×

MENARA TAMING SARI MARTABATKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 26 Ogos – Suasana meriah mewarnai perkarangan Menara Taming Sari apabila lebih 100 peserta terdiri daripada orang awam dan pelancong menyertai pertandingan permainan tradisional sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, pertandingan yang diadakan secara santai itu bertujuan memartabatkan kembali permainan tradisional dalam kalangan masyarakat, selain mempromosikannya kepada pelancong.

Menurut beliau, enganjuran pertandingan itu juga menjadi tambahan daya penarik kepada pelancong yang berkunjung ke lokasi pelancongan ikonik Melaka itu.

“Tujuan pertandingan sukan tradisi congkak dan dam aji ini selari dengan usaha merakyatkan sukan tradisi agar ia terus diwarisi generasi muda.

“Permainan seperti congkak dan dam aji bukan sahaja menjadi hiburan, tetapi turut melatih kemahiran berfikir serta mengeratkan silaturahim.

“Kami mahu pengunjung merasai pengalaman itu di samping menyemarakkan semangat patriotisme sepanjang bulan kebangsaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Perkarangan Menara Taming Sari bersempena Program Pocket Event Merdeka, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata, pertandingan permainan tradisional itu merupakan antara program poket menuju ke sambutan kemerdekaan yang akan disambut pada tanggal 31 Ogos.

Beliau memaklumkan, pihaknya menerima reaksi positif dalam kalangan pelancong yang menyertainya, justeru program seumpamanya dicadang akan diadakan lebih kerap di Menara Taming Sari.

“Malah, ramai juga rakyat dan pelancong dari negeri lain yang memberi saranan untuk terus merakyatkan sukan tradisi kerana bimbang ramai dalam generasi moden ini tidak mengenali permainan tradisi kita,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1664
Kongsi :
Previous post TAPEM SEDIA BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN