
KERAJAAN NEGERI SEDANG MENGKAJI SISTEM PELAYARAN HOP-ON-HOP-OFF
BANDA HILIR 28 September – Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian berhubung sistem pelayaran Hop-On-Hop-Off sebagai alternatif pengangkutan di negeri ini.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, warisan, komuniti serta inovasi merupakan tiga dimensi yang mendefinasikan Melaka dan menjadi asas yang menyumbang kepada pelancongan global secara mampan.
Beliau berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan mobiliti lestari turut menjadi keutamaan di Melaka.
“Bagi mengurangkan kesesakan dan isu parkir di Banda Hilir teksi air telah diperkenalkan sebagai alternatif pengangkutan.
“Malah Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan kajian mengenai sistem pelayaran Hop-On-Hop-Off bagi menghubungkan hotel, tarikan dan fasiliti utama di sepanjang sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan khas sempena Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hote di sini, hari hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya MOTAC, Mr Chua Choon Hwa.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurutnya, transformasi yang dilakukan Kerajaan Negeri juga berjaya menghidupkan kembali Sungai Melaka sehingga Melaka River Cruise kini menjadi terkenal dan merekodkan seramai 15 juta pengunjung sejak 2006.
“Transformasi Sungai Melaka adalah suatu kisah ikonik, dahulunya hanya sungai yang tercemar dan terbiar tetapi kini ia bukan sekadar ikon pelancongan sebaliknya menjadi pentas penganjuran tahunan Festival Sungai dan program antarabangsa.
“Transfomasi dilakukan juga secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan, menyokong perniagaan kecil serta memperkayakan kehidupan komuniti dan ini membuktikan bahawa pelancongan lestari mampu melindungi persekitaran sambil memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Jelasnya, dalam era globalisasi yang semakin mencabar, Melaka kekal memilih untuk memelihara warisan berbanding keuntungan jangka pendek dan pendekatan ini adalah untuk memastikan identiti serta legasi sejarah terus utuh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.