Sorting by

×

MELAKA MAHU PATEN PERATURAN KONDA KONDI

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KLEBANG 29 September – Peraturan permainan konda kondi yang dicipta Kerajaan Negeri bakal ‘dipatenkan’ bagi mengangkat martabat sukan rakyat itu.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Nasrul Ahmad berkata, sebelum ini, permainan konda kondi tidak pernah mempunyai peraturan yang khusus, namun atas kolaborasi Kerajaan Negeri bersama pelbagai pihak termasuklah persatuan dan institusi pengajian tinggi, peraturan tersebut kini sudah boleh diguna pakai bagi penganjuran pertandingan.

Menurut beliau, usaha tersebut juga selari dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu mengangkat sukan rakyat, selain permainan itu juga semakin mendapat sambutan hebat.

“Penghasilan peraturan ini adalah hasil perbincangan beberapa pihak, antaranya Majlis Sukan Negara Negeri Melaka, Jabatan Belia dan Sukan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Politeknik dan Persatuan Tradisional Negeri Melaka.

“Kini, peraturan ini boleh dikatakan sudah 99 peratus lengkap dan ia boleh menjadi rujukan bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan pertandingan konda kondi.

“Ia secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada permainan tradisional Melayu dan memperkukuh pemeliharaan warisan budaya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Penyampaian Hadiah Pesta Konda Kondi Melaka sempena WTD 2025 di Encore, di sini, semalam.

Menurut Nasrul, usaha Kerajaan Negeri mampatenkan peraturan baharu itu juga diyakini bakal mengangkat konda kondi sebagai satu acara sukan baharu, bukan sahaja di peringkat komuniti atau negeri, malah boleh diperluaskan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Tidak mustahil sukan ini boleh dipertandingkan di peringkat kejohanan sekolah seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Sukan Malaysia (SUKMA) atau di peringkat dunia suatu hari nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, Pesta Konda Kondi Negeri Melaka yang berlangsung dari 26 hingga 28 September ini menghimpunkan seramai 1,100 penyertaan daripada pelbagai kategori dipertandingkan seperti Sekolah Rendah, Menengah dan Terbuka.

Pertandingan ini menobatkan Sekolah Rendah Arab (SRA) Bachang sebagai juara kategori sekolah rendah, MOZAC Thunder (sekolah menengah) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Purbarudin bagi kategori terbuka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

614
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2026 : MYBHA HARAP SUARA PEMAIN INDUSTRI DIDENGARI
Next post TAMBAH SIREN AMARAN DI ‘HOTSPOT’ BANJIR