
BELANJAWAN 2026: PERUNTUKAN TVET NAIK KEPADA RM7.9 BILION
Beliau berkata peningkatan berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini, bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi, serta menyokong sektor berkeutamaan tinggi.
“Institusi TVET Kementerian Pendidikan (KPM) disediakan RM1.3 bilion untuk mendidik 79,000 penuntut TVET. HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan tiga juta peluang latihan, terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.
“Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET dengan lebih menyeluruh, termasuk cadangan penggubalan RUU TVET,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Majlis TVET diperuntukkan RM45 juta bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok menerusi program IPT@Komuniti.
Anwar berkata Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menyediakan pembiayaan RM650 juta untuk manfaat lebih 25,000 pelatih, terutamanya bidang New Industrial Master Plan (NIMP) seperti AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
Selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri juga akan melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan RM34 juta, katanya.
“GiatMARA menawarkan latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig. Kolej Komuniti menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk komuniti rentan seperti Orang Kurang Upaya, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembangunan sebuah Kolej Vokasional baharu di Sabah dan penaiktarafan kemudahan institusi TVET.
Hal itu termasuk pembinaan hangar baharu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang dan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.