Sorting by

×

MELAKA PASTIKAN PAPAN IKLAN BERLESEN, TERSUSUN DAN SELAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) sedang meneliti semula tatacara pelesenan serta pengurusan papan tanda dan iklan di negeri ini bagi memastikan strukturnya lebih tersusun dan selamat.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata ia sekali gus memastikan setiap papan tanda berlesen, diselenggara dengan baik serta tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam.

“Alhamdulillah, CMI mengadakan bengkel khusus bagi memastikan papan-papan tanda dan iklan yang berada di kawasan Melaka dapat diselenggara dengan baik dan aspek pelesenan diutamakan.

“Saya difahamkan banyak juga papan tanda tidak berlesen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama CMI kini sedang menilai semula dari segi undang-undang kecil supaya tiada pihak bertindak sesuka hati, terutama di kawasan tanah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Bengkel Pemurnian dan Penambahbaikan Tatacara Pengurusan Pemasangan Struktur Papan Iklan Luar di Seluruh Negeri Melaka di Auditorium Kompleks CMI, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar CMI, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Menurut Zulkiflee, antara kawasan yang diberi perhatian ialah sepanjang lebuh raya, susulan insiden papan tanda besar yang pernah tumbang tahun lalu di salah satu simpang utama di negeri ini.

“Kejadian itu berlaku awal tahun lepas, melibatkan papan tanda besar yang roboh akibat tidak berlesen. Mujur tiada kemalangan jiwa, jadi perkara ini perlu dipandang serius.

“Justeru itu, saya mohon supaya pemaju mengenal pasti tapak paling sesuai dan memastikan lesen kelulusan diperoleh daripada PBT dan CMI supaya tidak menimbulkan masalah kemudian hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post WRUR: SUKARELAWAN KLEBANG, BUKTI MASIH ADA YANG SAYANG
Next post 25 ACARA WARNAI FESTIVAL SENI SELAT MELAKA X FESTIVAL SUNGAI MELAKA