Sorting by

×

PTPTN SALUR DANA WAKALAH ZAKAT BANTU PENDIDIKAN ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

LENDU 15 Oktober – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Melaka terus menunjukkan keprihatinan dalam membantu anak-anak asnaf menerusi dana wakalah zakat berupa sumbangan bagi membuka akaun simpanan pendidikan.

Menerusi dana itu, seramai 175 kanak-kanak Tadika KEMAS yang dikenal pasti sebagai asnaf, fakir dan miskin telah menerima sumbangan RM100 yang dimasukkan ke dalam Akaun Simpan SSPN Prime masing-masing.

Pengarah PTPTN Negeri Melaka Mas Anisah Ayu Othman berkata, sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif perbadanan tabung pendidikan itu membantu golongan memerlukan dalam bidang pendidikan.

Jelas beliau, usaha itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah ia menjadi titik mula dalam membudayakan penabungan pendidikan sejak awal usia.

“Diharapkan ini dapat membuka ruang kesedaran ibu bapa tentang pentingnya merancang masa depan anak-anak, khususnya melalui skim Simpanan Pendidikan Simpan SSPN yang dijamin kerajaan disamping menikmati pelbagai keistimewaan yang ditawarkan dalam memperkasa pendidikan rakyat.

“Ia dilakukan melalui pendekatan menyeluruh dan inklusif, seiring hasrat negara melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mas Anisah telah menyerahkan simbolik replika cek sumbangan berkenaan kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka Asri Saleh pada Majlis Perasmian Penutup Program Karnival KEMAS Negeri Melaka di padang Taman Masjid Tanah Ris, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu telah dirasmikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah dan hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post PMR 2025 MELAKA: 6 TAPAK PARKIR UNTUK PENGUNJUNG, KENDERAAN PERANTARA DISEDIAKAN
Next post PENDUDUK LEGA ISU BANJIR KILAT SEMAKIN BERKURANGAN