
WRUR: PUTUS BEKALAN AIR, BANJIR, RUMAH ROSAK ANTARA ADUAN WARGA KLEBANG
KLEBANG 18 Oktober – Masalah banjir, rumah rosak dan terputus bekalan air antara aduan disuarakan penduduk pada Hari Aduan Rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, di sini, semalam.
Penduduk Taman Rambai Indah, Azman Asnawi Sabri, 64, berkata beliau mengambil kesempatan menghadiri program itu bagi mengemukakan beberapa isu berkaitan kemudahan awam di kawasan perumahannya yang memerlukan perhatian pihak berwajib.
“Saya sempat mengemukakan isu kepada Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, mengenai masalah jalan raya di kawasan Perindustrian Bukit Rambai yang melibatkan pembahagi jalan rosak dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
“Alhamdulillah, Exco memberi jaminan untuk membaiki pembahagi jalan tersebut. Program Aduan Rakyat ini sangat baik kerana kami boleh mengadu secara terus tanpa melalui karenah birokrasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nada sama disuarakan Ani Rozilah Buang, 47, dari Kampung Solok Setulang Daeng, tampil meluahkan masalah banjir berulang sehingga menyebabkan rumahnya rosak dan menjejaskan kehidupan seharian keluarganya.
“Kami harap masalah ini diberi perhatian segera kerana setiap kali hujan lebat, rumah dinaiki air. Struktur rumah juga sudah banyak yang mengalami kerosakan.
“Pada saya, program ini sangat baik kerana kami dapat berjumpa terus dengan wakil rakyat dan agensi tanpa perlu melalui banyak saluran,” katanya.
Sementara itu, Sharimah Abdul Rahman, 60, dari kampung sama berkata, beliau mengajukan aduan kepada wakil Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berhubung masalah ketiadaan bekalan air yang sering berlaku di kawasan tersebut.
“Saya ambil kesempatan hadir untuk mengadu secara terus kepada wakil SAMB. Kadang-kadang sampai dua tiga hari air tiada. Dalam sebulan tu sampai tujuh hari tiada air, menyukarkan kami buat kerja harian.
“Harap selepas aduan ini dibuat secara langsung, pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera,” katanya.
Program sempena WRUR DUN Klebang itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; serta barisan Exco dan wakil lebih 35 agensi kerajaan negeri bagi mendengar dan menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk sekitar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.