
WRUR: ANAK BUKIT RAMBAI BINTANG MASA DEPAN OLAHRAGA NEGARA
KLEBANG 18 Oktober – Siapa sangka, sekolah terletak di kawasan luar bandar yang jarang disebut-sebut atau diberi perhatian kini sedang melahirkan seorang bintang olahraga dalam pembikinan.
Sekolah yang dimaksudkan adalah Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai (STABURA) yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Institusi pendidikan rendah yang menempatkan lebih 1,700 murid itu kini berjaya mengharumkan nama Negeri Melaka apabila salah seorang muridnya, Nur Zinnirah Assyifaa’ Mohd Akbar berjaya memecahkan pelbagai rekod dalam sukan olahraga.
Paling membanggakan, murid Darjah 6 itu berjaya menjadi atlet perempuan bawah 12 tahun pertama meraih pingat emas dalam acara lompat jauh pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Perlis Ke-65 pada Ogos lalu.

Lebih istimewa, dia turut berjaya menyamai rekod kebangsaan berusia 12 tahun acara itu dengan lompatan sejauh 5.06 meter, sekali gus meletakkan namanya sebagai pemegang rekod MSSM bersama Mahira Hanis Ishak (Johor) yang dicipta pada 2014.
Tidak hanya itu, Nur Zinnirah turut dinobat Olahragawati Terbaik, Atlet Terbaik Perempuan 12 Tahun dan Johan Keseluruhan MSS Melaka 2025 di atas pelbagai kejayaan yang diraih dalam sukan olahraga.
Ia termasuklah memecahkan beberapa rekod klasik kejohanan berusia 28 tahun dalam acara lompat jauh dan rekod berusia 17 tahun dalam acara 4×200 meter, selain turut menyamai rekod klasik kejohanan dalam acara 200 meter.
Bakat Nur Zinnirah telah dikenal pasti oleh guru SK Taman Bukit Rambai yang juga jurulatihnya, Khir Asya’arie Yaman sejak darjah 4 dan pernah menjadi atlet termuda mewakili Melaka pada Kejohanan Olahraga MSSM 2023 di Seremban.
Menurut Khir Asya’arie, semangat dan disiplin luar biasa ditonjolkan anak muridnya itu membuatkan kejayaan demi kejayaan berjaya diraih dalam pelbagai acara yang disertai baik di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.
“Malah, selain sukan, Nur Zinnirah turut cemerlang dalam bidang akademik sehinggakan dia menerima banyak tawaran daripada sekolah sukan tersohor negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Guru Besar STABURA Jamilah Ishak menyifatkan kejayaan demi kejayaan yang diraih Nur Zinnirah sebagai suatu kebanggaan, bukan sahaja untuk sekolah tetapi juga Negeri Melaka.
“Siapa sangka rekod kebangsaan MSSM dalam acara lompat jauh kini dipegang oleh anak dari Bukit Rambai di bawah DUN Klebang.
“Ini merupakan satu daripada pelbagai kejayaan yang telah diraih dari sekolah ini dan kami warga STABURA amat bangga,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mural Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di sekolah berkenaan, semalam.
Perasmian mural itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan diraih murid dari STABURA.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.