
BAZAR DEEPAVALI SEMARAK EKONOMI KOMUNITI INDIA, SIMBOL PERPADUAN – KM
BANDA HILIR 18 Oktober – Pembukaan Bazar Deepavali sempena Pesta Deepavali selama dua minggu dengan penyertaan lebih 40 usahawan tempatan memperkasa ekonomi komuniti India di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu juga menjadi platform utama menonjolkan keindahan budaya, seni dan warisan masyarakat India yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri bersejarah ini.
Katanya, penganjuran Pesta Deepavali bukan sekadar meraikan cahaya kemenangan, sebaliknya melambangkan semangat keharmonian dan kebersamaan yang menjadi asas kemakmuran negeri.
“Usaha ini bukan sekadar menghidupkan semangat Deepavali, tetapi langkah memperkukuh ekonomi komuniti India serta mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa. Inilah acuan dan roh perpaduan yang mesti disemai dalam jiwa 1.05 juta rakyat Melaka.
“Perbezaan tidak wajar menjadi jurang yang memisahkan, sebaliknya jambatan yang menghubungkan hati-hati kita,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Deepavali 2025 di Padang Nyiru di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia dan Sukan negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan kenamaan lain.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Shanmugam, bersama kepimpinan masyarakat India serta agensi terlibat atas komitmen padu merealisasikan program berkenaan.
Ab Rauf turut menzahirkan rasa teruja dengan sambutan luar biasa ribuan masyarakat India yang hadir memeriahkan program berkenaan.
“Saya yakin lebih 50,000 masyarakat India di negeri ini berkongsi semangat yang sama untuk terus bersama-sama membina Melaka yang harmoni dan makmur,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.