Sorting by

×

MIHF’25 PERKASA EKONOMI, ANGKAT MELAKA SEBAGAI HAB HALAL SERANTAU

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Penganjuran Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) menjadi platform penting menghimpunkan gagasan dan aspirasi ke arah memperkasa ekonomi halal berteraskan prinsip halalan toyyiban.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran kali kedua festival itu mencetuskan anjakan baharu dalam landskap pembangunan negeri dengan menjadikan industri halal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, selepas kejayaan sulung pada tahun lalu, MIHF’25 kembali dengan skala lebih besar melibatkan penyertaan lapan negara Asia serta lebih 400 pempamer dari dalam dan luar negara.

“Tahun ini kita menyasarkan lebih 100,000 pengunjung dengan anggaran nilai hasil sekitar RM10 juta.

“Alhamdulillah, setakat dua hari penganjuran, lebih 40,000 pengunjung telah direkodkan,” katanya ketika berucap merasmikan MIHF’25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan kenamaan lain.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian beberapa anugerah berprestij sebagai pengiktirafan kepada organisasi dan institusi di atas sumbangan mereka dalam memperkukuh ekosistem halal serta menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

Ab Rauf berkata, festival yang turut disertai delegasi Menteri-Menteri Agama serantau daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia dan Singapura itu menjadi platform strategik memperkukuh ekosistem halal global.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada pemain industri lain untuk terus mengangkat sektor halal ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita turut mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari pelbagai negara seperti Korea, Taiwan, Iran dan China yang membuktikan komitmen Melaka untuk terus menjadi hab perdagangan dan kecemerlangan halal antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post WRUR: PUTUS BEKALAN AIR, BANJIR, RUMAH ROSAK ANTARA ADUAN WARGA KLEBANG
Next post MELAKA HALAL HUB FASA 2 DIBANGUNKAN, TARIK PELABUR HALAL ANTARABANGSA