
MELAKA TUBUH MAJLIS PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL
AYER KEROH 18 Oktober – Melaka bakal menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Melaka (MPIH Melaka) sebagai badan penyelaras utama bagi memperkukuh struktur pembangunan dan kawal selia industri halal di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MPIH Melaka akan menjadi platform penyelarasan menyeluruh yang melibatkan semua agensi teknikal, badan industri serta pihak berkepentingan dalam sektor halal.
Katanya, penubuhan majlis itu seiring dengan hasrat Majlis Pembangunan Industri Halal Peringkat Persekutuan di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), yang menetapkan keperluan setiap negeri mempunyai struktur kawal selia halal tersendiri.
“Langkah ini akan memastikan pembangunan industri halal di Melaka dapat digerakkan secara lebih tersusun, berimpak dan berpaksikan prinsip halalan toyyiban.
“Inisiatif ini turut mengambil kira kedudukan Melaka sebagai ‘Muslim Friendly Tourism State’ serta penerima Anugerah ‘Best Halal State’ melalui ‘World Halal Excellence Award’ anjuran ‘Halal Development Corporation’ (HDC).
“Menerusi semua pengiktirafan dan kedudukan strategik ini, Kerajaan Negeri yakin Melaka berada di landasan tepat untuk muncul sebagai peneraju hab halal serantau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) di Pusat Dagangan Antarabangsa di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penubuhan MPIH Melaka juga akan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih luas dalam ekosistem halal melibatkan pelabur, pengilang, pengedar dan penyelidik dari dalam serta luar negara.
“Melalui MIHF’25, kita membuka pintu seluas-luasnya kepada semua pihak bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai rakan strategik membina ekosistem halal dunia dari Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.