Sorting by

×

MELAKA PERINTIS ‘KUBUR DIGITAL’

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Oktober – Melaka bakal menjadi negeri perintis kepada kaedah sistem baharu tanah perkuburan yang dinamakan Kubur Digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kaedah baharu itu diperkenalkan bagi menambah baik tanah perkuburan tradisional di negara ini dengan menomborkannya dan seterusnya memudahkan pengesanan lokasi tapak kubur oleh waris.

Jelas beliau, Kampung Pulau bakal menjadi lokasi perintis bagi sistem berkenaan sebelum ia diperluaskan ke seluruh Negeri Melaka pada masa akan datang.

“Apa yang akan kita lakukan adalah menomborkan semua kubur-kubur lama ini sebagai tanda untuk memudahkan generasi akan datang menziarahi ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

“Seperti mana kita tahu, kubur-kubur semakin bertambah dan tanda tempat perkuburannya mungkin ada yang sudah hilang dan sebagainya. Malah, ada di antara kita hanya berpandukan kepada struktur atau tanda semulajadi seperti pokok dan sebagainya.

“Namun, kedudukan itu tidak cukup spesifik untuk membantu mengesan kubur ahli keluarga mereka dan sebab itulah kita akan menomborkan kubur-kubur ini supaya ia dapat memberi lokasi tepat kubur-kubur warisan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Komuniti ‘Semanis MABIMS Seharum Serantau’ Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam Mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama (Kheu) Mohammad Rosli Ibrahim dan Kepala Biro Hukum Dan Kerjasama Luar Negeri Republik Indonesia Mewakili Menteri
Agama Republik Indonesia Imam Syaukani.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada MABIMS kerana telah memilih Kampung Pulau sebagai lokasi perintis Program Kampung Angkat MABIMS.

Beliau menzahirkan keyakinan pemilihan itu akan terus memperkukuh jaringan kerjasama Islam serantau, serta menjadikan Melaka antara nadi penggerak utama dalam memperkasa kesejahteraan ummah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post MELAKA TUBUH MAJLIS PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL
Next post PMR 2025 MELAKA: JPJ MELAKA TAWAR SERVIS MOTOSIKAL PERCUMA