Sorting by

×

BALAI ISLAM DIBINA DI KAMPUNG PULAU

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Oktober – Sebuah Balai Islam akan dibina di Kampung Pulau, di sini, sekali gus bakal menjadi pusat ilmu, dakwah dan kebajikan yang menyatukan kekuatan umat Islam di bawah satu payung.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Balai Islam Kampung Pulau dibina di atas tanah Lot 1619 seluas 1.66 hektar (4.11 ekar) yang merupakan sumbangan tanah wakaf oleh Kolonel Nornizam Kamarudin.

Menurut Ab Rauf, apabila siap kelak, kawasan itu akan menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan masjid, sekolah agama, tanah perkuburan Islam serta pelbagai kemudahan lain yang memberi manfaat besar kepada masyarakat dan negeri.

“Sejak awal saya diberi amanah sebagai Ketua Menteri Melaka, antara hasrat yang paling dekat di hati saya ialah untuk melihat lahirnya sebuah Balai Islam yang benar-benar menjadi nadi pengukuh syiar Islam di negeri ini. Alhamdulillah, hasrat itu sedang dizahirkan melalui pembangunan Balai Islam Kampung Pulau.

“Lebih bermakna lagi, Balai Islam ini turut diangkat sebagai Balai Islam Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).

“Ia sekali gus menjadikan Melaka sebahagian daripada jaringan kerjasama serantau dalam memperkukuh dakwah dan ukhuwah di bawah panji Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti ‘Semanis MABIMS Seharum Serantau’ Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Img 20251018 wa0040
AB Rauf dan kenamaan ketika melihat pelan pembinaan Balai Islam Kampung Pulau. Foto Pejabat Ketua Menteri

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam Mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama (Kheu) Mohammad Rosli Ibrahim dan Kepala Biro Hukum Dan Kerjasama Luar Negeri Republik Indonesia Mewakili Menteri
Agama Republik Indonesia Imam Syaukani.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selain penyumbang tanah wakaf, Balai Islam Kampung Pulau turut direalisasikan menerusi sumbangan saham wakaf daripada enam syarikat dan agensi kerajaan.

“Pastinya, Kerajaan Negeri Melaka akan terus berpegang teguh kepada dasar Islam yang bersifat inklusif, progresif dan berteraskan nilai Rahmatan lil ‘Alamin… kerana syiar Islam yang kita junjung ini tidak seharusnya hanya gah pada nama atau indah di atas kertas, sebaliknya, biarlah ia dihayati dalam tindakan, dizahirkan dalam dasar dan terus menjadi nadi kepada pembangunan ummah.

“Negeri Melaka akan terus menyokong dan membuka ruang kerjasama bagi penganjuran
program-program seumpama ini, agar setiap kampung dapat dijadikan model pelaksanaan dasar Islam yang memberi impak, bukan sahaja di negeri ini, bahkan di seluruh rantau Nusantara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post PMR 2025 MELAKA: JPJ MELAKA TAWAR SERVIS MOTOSIKAL PERCUMA
Next post MIMBJ 2025 ANGKAT MELAKA DESTINASI SUKAN LASAK