
PMR 2025 MELAKA: JPJ MELAKA TAWAR SERVIS MOTOSIKAL PERCUMA
MERLIMAU 18 Oktober – Penunggang motosikal sekitar Melaka boleh mendapatkan khidmat menukar minyak enjin secara percuma di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka pada Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau sehingga esok.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, penukaran minyak enjin itu hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang memiliki motosikal berkuasa bawah 250 cc dan layak menuntuk satu liter minyak enjin percuma bagi setiap motosikal.
Katanya, langkah itu bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi dapat meningkatkan kesedaran mengenai penyelenggaraan motosikal secara berkala.
“Pelaksanaan penukaran minyak enjin percuma oleh JPJ Melaka ini turut mendapat kerjasama daripada pelajar GiatMARA Simpang Ampat dan GiatMARA Jasin yang membantu dalam kerja-kerja teknikal menukar minyak hitam bagi motosikal peserta.
“JPJ Melaka bertindak sebagai urus setia pengurusan program, manakala bekalan minyak enjin diperoleh hasil tajaan daripada beberapa agensi dan syarikat swasta dan secara keseluruhan sebanyak 600 botol minyak enjin yang disediakan.
“Lebih menarik, kita juga menjalin kerjasama bagi pengumpulan minyak hitam buangan untuk dilupuskan secara selamat dan mesra alam daripada syarikat swasta,” katanya kepada Melaka Hari Ini di reruai JPJ Melaka di Program Madani Rakyat Zon Selatan, Politeknik Merlimau di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Zarina turut memaklumkan pihaknya melaksanakan dua lagi perkhidmatan utama termasuk penukaran topi keledar baharu dan urus niaga JPJ negeri.
Tambahnya, JPJ Melaka menyediakan tiga slot bagi mengelakkan kesesakan pengunjung di reruai JPJ Melaka.
“Kita sediakan slot pagi, tengah hari dan malam yang mana sebanyak 200 botol sehari akan diberikan kepada pengunjung.
“Kepada penduduk Melaka, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pertukaran minyak enjin dan helmet percuma di PMR ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.