
SANTUNI ANAK YATIM MISKIN AGENDA UTAMA MABIMS
BUKIT KATIL 19 Oktober – Menyantuni anak yatim dan golongan miskin menjadi agenda serantau negara anggota Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS),
Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengerusi Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) Datuk Wira Salhah Salleh berkata, penganjuran program kebajikan bukan sahaja menunjukkan keprihatinan malah memberi kegembiraan kepada anak-anak yang disantuni.
Katanya, pemilihan KAYFAZ sebagai tuan rumah bagi penganjuran Program Santunan Kasih Isteri MABIMS bersama anak yatim amat menggembirakan dan memberikan makna besar kepada 32 penghuni institusi itu,
“Aktiviti ini adalah program tahunan diadakan untuk menyantuni anak yatim dan miskin, ia menjadi isu sejagat yang mana empat negara ini memberi perhatian khusus dalam menjaga kebajikan anak-anak tersebut.
“Kita amat berharap program ini tidak akan terhenti di sini sahaja tetapi akan dilaksanakan pada tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santunan Kasih Isteri MABIMS Bersama Anak Yatim yang diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman, di KAYFAZ, hari ini.
Turut hadir, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail; Isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datin Wira Nik Zulhasra Mohd Zain dan Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Melaka (LKPI) Puan Seri Datuk Zabedah Abdullah.
Menurut Salhah, penganjuran program seperti ini juga secara tidak langsung menjadi medan pelarasan dan perkongsian idea dalam kalangan isteri menteri.
“Sinergi serantau seperti ini amatlah penting kerana isu kebajikan dan perlindungan anak yatim bukanlah tanggungjawab satu negara semata-mata tetapi amanah bersama yang merentasi sempadan politik serta geografi.
“Malah di KAYFAZ juga kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, perkongsian ilmu mahupun pertukaran idea antara negara-negara anggota MABIMS khususnya dalam aspek pengurusan anak yatim,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.