
TERUSKAN TRADISI CERIAKAN GOLONGAN B40 SETIAP KALI MUSIM PERAYAAN
TANJUNG BIDARA 19 Oktober – Penyampaian sumbangan dalam pelbagai bentuk setiap kali tiba musim perayaan menzahirkan keprihatinan dan kasih sayang khususnya buat golongan B40 yang sentiasa menjadi keutamaan dalam dasar kebajikan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan tidak semestinya dinilai pada angka semata-mata, tetapi difahami sebagai manifestasi komitmen Kerajaan dalam menyampaikan amanah kepada rakyat.
Katanya, inisiatif yang menjadi kelaziman setiap kali tibanya musim perayaan itu juga mendokong aspirasi Kerajaan Negeri terhadap inisiatif mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Diam tak diam, esokseluruh masyarakat India beragama Hindu akan meraikan kemeriahan sambutan
Deepavali atau Pesta Cahaya, yang cukup signifikan menjadi lambang kemenangan, harapan dan pembaharuan buat komuniti India.
“Perayaan ini bukan sekadar adat mahupun tradisi, ia membawa Falsafah mendalam tentang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, yang mengajar kita erti tanggungjawab bersama untuk menjadi sinar harapan kepada komuniti,” kata Ketua Menteri.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Perayaan Deepavali Parliman Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Halyjah Muhamad.
Katanya, bagi menzahirkan semangat itu, tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi sumbangan perayaan Deepavali yang memberi manfaat kepada 1,000 penerima dari seluruh parlimen Negeri Melaka.
“Bagi menjamin amanah ini sampai terus kepada rakyat, saya berbesar hati menyampaikan sejumlah
RM35,000 kepada seramai 175 orang komuniti India daripada Parlimen Masjid Tanah.
“Lebih bermakna lagi, majlis kali ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Petronas yang sudi berkongsi rezeki sejumlah RM55,000Â termasuk kit keperluan ASAS kepada para penerima yang diraikan,” katanya .
Menurutnya, mewakili Kerajaan Negeri Melaka, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Yayasan Petronas atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan.
“Semoga usaha murni ini dapat diteruskan bagi perayaan-perayaan komuniti lain juga pada masa akan datang,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.