
WRUR SELESAI 1,293 ADUAN, BUKTI MELAKA CAKNA DENYUT NADI RAKYAT
MERLIMAU 19 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menjadi inisiatif Kerajaan Melaka mendengar denyut nadi rakyat telah menerima sebanyak 1,771 aduan secara keseluruhan sepanjang lapan siri yang diadakan setakat ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,293 aduan berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam tindakan.
Katanya, kejayaan itu selari dengan hasrat merapatkan jurang, sekali gus menyelami denyut nadi kehidupan rakyat dengan lebih dekat.
“Kejayaan sebenar WRUR bukanlah dinilai pada jumlah aduan yang berjaya diselesaikan, mahupun pada nilai projek yang dibangunkan.
“Apa yang lebih utama pada wajah-wajah rakyat yang tersenyum kerana mereka merasa dilihat, didengar dan dibela.
“Inilah hasrat sebenar Kerajaan Negeri memilih untuk turun ke lapangan, menjengah kampung dan taman, bertemu masyarakat desa dan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri.
Program merakyatkan pentadbiran itu kini telah menjelajah ke lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula dari Kuala Linggi sehingga Klebang yang akan menutup tirainya malam ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.