Sorting by

×

WRUR : TIGA SEKOLAH DUN KLEBANG TERIMA SUNTIKAN PEMBANGUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KLEBANG 20 Oktober – Usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Melaka terus diperkasa apabila tiga sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dikenal pasti dan akan menerima perhatian khusus, melibatkan peruntukan melebihi RM37 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pelaburan terhadap aset paling berharga, iaitu generasi masa hadapan.

Menurutnya, dua sekolah di DUN Klebang telah diluluskan peruntukan besar oleh KPM dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Besar bakal menerima RM20 juta bagi pembinaan bangunan baharu yang merangkumi 12 bilik darjah.

“Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar pula menerima peruntukan sebanyak RM11.7 juta bagi pembinaan semula bangunan daif yang menempatkan pelajar-pelajar sekolah tersebut.

“Kerajaan Negeri turut menzahirkan komitmen terhadap kebajikan pelajar di SK Taman Bukit Rambai apabila mempertimbangkan pembinaan sebuah dewan terbuka di sekolah tersebut.

“Cadangan itu dikemukakan selepas kita mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan baru-baru ini yang menyaksikan bilangan murid yang ramai dan suasana pembelajaran yang penuh bertenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Dataran Klebang, di sini, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sejumlah RM6.1 juta turut diluluskan bagi tujuan perolehan tanah melibatkan beberapa buah sekolah di kawasan berkenaan.

“Langkah ini bagi membolehkan pembinaan padang dan kemudahan tambahan lain dilaksanakan secara berfasa.

“Ini semua bukti bahawa setiap sen perbelanjaan penting bagi membina masa depan generasi Klebang yang lebih cerah dan seimbang dari segi pendidikan serta pembangunan insan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post RINGANKAN BEBAN, BANGKITKAN AURA KEMERIAHAN SAMBUTAN DEEPAVALI
Next post JAMBATAN STULANG DAENG KEMBALIKAN NADI KEHIDUPAN PENDUDUK KAMPUNG