
JAMBATAN STULANG DAENG KEMBALIKAN NADI KEHIDUPAN PENDUDUK KAMPUNG
KLEBANG 20 Oktober – Jambatan baharu Stulang Daeng yang dibina dengan peruntukan RM9.4 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjadi nadi baharu kehidupan penduduk kampung di kawasan itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jambatan itu bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya mengembalikan semula kemudahan dan kesejahteraan penduduk.
“Seorang penduduk berusia lewat 60-an memberitahu saya, dahulu laluan sangat sempit hingga jenazah pun terpaksa dibawa berpusing jauh untuk ke tanah perkuburan di seberang.
“Kini jambatan baharu ini memudahkan semua urusan, inilah nadi kehidupan kampung mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Dataran Klebang, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Ab Rauf berkata, program WRUR bukan sahaja menonjolkan semangat menyantuni rakyat, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara wakil rakyat serta pemimpin masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.
“Selagi saya memikul amanah ini, rakyat akan terus menjadi keutamaan. Kerajaan bertanggungjawab membela rakyat, itulah erti kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Justeru itu, Program WRUR bukan penamat, tetapi permulaan kepada lembaran baharu Melaka yang lebih makmur, inklusif dan berjiwa rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.