Sorting by

×

‘PERPADUAN JADI TUNJANG SAMBUTAN DEEPAVALI DI MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Sambutan Deepavali di Melaka menyerlahkan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum apabila majlis rumah terbuka Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam menerima kehadiran tetamu pelbagai latar belakang.

Menurut Shanmugam, rumah terbuka Deepavali sudah menjadi tradisi tahunan yang bukan sekadar meraikan perayaan, malah memperkukuh hubungan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini.

“Sambutan kali ini amat menggalakkan kerana kita berpandu kepada semangat toleransi dan persefahaman kaum.

“Saya amat menghargai kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Tambah beliau, perayaan itu turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada masyarakat India, khususnya kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1890
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR PINGAT DALAM EMPAT ACARA WAJIB DI SUKMA 2026