Sorting by

×

KES JENAYAH LIBAT PELAJAR SEKOLAH MENURUN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BUKIT BARU 24 Oktober – Statistik Polis Melaka menunjukkan kes jenayah melibatkan pelajar sekolah menengah menurun 24 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, jumlah keseluruhan tangkapan pelajar melibatkan sekolah menengah menurun daripada 91 kes pada 2024 kepada 69 kes pada 2025, merangkumi tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Katanya, bagi kategori jenayah kekerasan, jumlah kes di Melaka Tengah menurun daripada 34 kepada 24 kes, diikuti Alor Gajah, lapan kepada tujuh kes manakala Jasin kekal stabil dengan empat hingga lima kes.

“Antara kes direkodkan termasuk rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 32 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta rompakan di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata jenayah melibatkan harta benda dalam tempoh sama turut menunjukkan penurunan.

“Kes jenayah melibatkan harta benda di Melaka Tengah menurun daripada 28 kepada 20 kes dan Jasin daripada lapan kepada satu kes manakala Alor Gajah mencatat sedikit peningkatan daripada sembilan kepada 11 kes.

“Jenayah dalam kategori ini melibatkan kes curi, curi motosikal dan pecah rumah di bawah Seksyen 379A serta 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Walaupun berlaku penurunan, kita masih bimbang dengan beberapa kes serius yang melibatkan pelajar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan terus mengadakan lawatan dan pemeriksaan mengejut bagi mencegah selain mendidik pelajar supaya mereka faham implikasi terhadap perbuatan jenayah dilakukan.

“Kita akan buat pemeriksaan dari masa ke semasa secara berterusan. Pemeriksaan itu mengejut, bukan dijadualkan,” jelasnya.

Dzulkhairi turut menegaskan bahawa pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam melaksanakan aktiviti kesedaran serta pendidikan undang-undang di peringkat sekolah.

Katanya, langkah itu sejajar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini yang mahu kehadiran polis di sekolah dijadikan satu keperluan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post APC SUNTIK SEMANGAT PENJAWAT AWAM MELAKA TERUS BERKHIDMAT CEMERLANG
Next post JKM KESAN WARIS THEVANESH