
BAYI SEMBILAN BULAN MAUT KEMALANGAN EMPAT KENDERAAN
Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa Nur Athiya Inara Isnorizal yang cedera di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu 8.09 malam tadi.
Beliau berkata pada 10.27 pagi semalam, polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis Honda Accord dan dua buah kereta Perodua Axia.
“Ketika kemalangan, mangsa diriba ibunya Nur Azzahra Manaf, 25, di kerusi penumpang hadapan dalam kenderaan Perodua Axia yang dipandu bapanya, Isnorizal Ismail, 25.
“Bapa mangsa mengalami cedera di kaki kiri sementara ibunya bengkak pada bibir dan tangan kiri manakala empat pemandu dan penumpang tiga kenderaan lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zain berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu bapa mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Tumpat, Kelantan telah hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lagi Perodua Axia yang sedang berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan.
“Akibat pelanggaran berkenaan, kedua-dua Perodua Axia itu telah berpusing dan dilanggar oleh sebuah Honda Accord yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kereta itu hilang kawalan ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebuah lagi Honda Accord yang sedang diletakkan di kaki lima jalan.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Setiu sebelum bayi berkenaan dipindahkan ke HSNZ,” katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


