SITI AISYAH SEDIA TERIMA AMANAH LEBIH BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PENGKALAN BATU 19 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood terbuka menerima tanggungjawab lebih besar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sekiranya diberikan kepercayaan menganggotai barisan Exco.

Beliau berkata, setiap amanah yang diberikan perlu diterima dengan penuh kesediaan dan dilaksanakan sebaik mungkin, meskipun tanggungjawab berkenaan hadir bersama cabaran serta tuntutan tugas yang lebih besar.

Katanya, apabila seseorang memilih untuk berada dalam arena politik, kesediaan memikul tanggungjawab yang diberikan perlu menjadi pegangan, bukan hanya tertumpu kepada jawatan atau kedudukan tertentu.

“Sejujurnya apabila kita sudah berada dalam arena ini, nak atau tidak, suka atau tidak, kita kena terima sekiranya itu yang sudah diamanahkan kepada kita.

“Insya-Allah, kalau diberikan mandat, saya akan cuba laksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagaimanapun, Siti Aisyah berkata, apa juga amanah yang dipikul kelak, kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan, khususnya dalam memahami keperluan dan permasalahan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan mendekati penduduk serta mengenal pasti isu setempat perlu diteruskan bagi memastikan setiap perancangan dan tindakan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi, namun jika diberi peluang, usaha mendekati penduduk serta mengenal pasti isu tempatan akan terus menjadi antara pendekatan penting dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post TIDAK KEJAR ATAU MEMINTA-MINTA JAWATAN, ITU PENDIRIAN ADUN PAYA RUMPUT