
RIDHWAN AKTIFKAN SEMULA ADUAN KOMUNITI UNTUK WARGA AYER MOLEK
SERI NEGERI 19 November – Program Aduan Komuniti yang sebelum ini berjaya mengumpulkan 500 aduan dalam tempoh tiga tahun kini diaktifkan semula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bagi mempercepatkan penyelesaian masalah penduduk.
Beliau berkata, sebanyak 65 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima sepanjang tempoh pelaksanaan sebelum ini berjaya diselesaikan, sekali gus mendorong program berkenaan diteruskan di peringkat DUN Ayer Molek selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Menurutnya, sesi pertama program yang kembali dilaksanakan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Ayer Molek sebaik dibuka semula pada 17 November menerima kehadiran 26 penduduk yang tampil menyuarakan pelbagai permasalahan.
“Selepas PRN, saya mengaktifkan semula Aduan Komuniti dan semalam kita menerima 26 penduduk yang tampil menyuarakan permasalahan mereka.
“Sepanjang tiga tahun program ini dilaksanakan, kita menerima 500 aduan dan daripada jumlah itu sebanyak 65 peratus berjaya diselesaikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.
Mohd Ridhwan berkata, sebelum ini program berkenaan dilaksanakan di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, namun kini dipindahkan ke JAPERUN Ayer Molek bagi memudahkan penduduk mendapatkan saluran untuk mengemukakan aduan secara terus kepada wakil rakyat.
Katanya, program itu akan diteruskan setiap Selasa, dengan kemungkinan terdapat penyesuaian waktu pelaksanaan bagi memudahkan lebih ramai penduduk mendapatkan khidmat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan dalam tempoh 100 hari pertama selepas menerima mandat turut diberikan kepada pelaksanaan sebanyak mungkin perkara yang dijanjikan kepada rakyat sepanjang kempen pilihan raya.
“Perkara pertama ialah kita perlu responsif dan menjadi perantara antara masyarakat dengan pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah atau isu rakyat.
“Bagi perkara yang boleh dilaksanakan di peringkat JAPERUN bersama agensi berkaitan, kita akan mula mengambil tindakan. Manakala isu yang memerlukan perbincangan di peringkat Kerajaan Negeri akan dibawa untuk pertimbangan selepas keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berhubung pelantikan barisan Exco dibuat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

