TURAPAN BAHARU JALAN TAMAN MESRA RIM SELESAI – DIRA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

RIM 19 November – Kerja-kerja menaik taraf jalan di Taman Mesra Rim di sini, termasuk turapan semula yang dimohon sebelum ini berjaya diselesaikan, sekali gus memberi memberikan lebih keselesaan kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, kerja menaik taraf infrastruktur itu adalah antara beberapa permohonan yang dibawanya untuk perhatian pihak berkaitan sebelum berakhirnya penggal lalu.

Katanya, perkembangan itu dimaklumkan kepadanya semalam dan beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) atas pelaksanaan kerja-kerja turapan semula jalan berkenaan.

“Alhamdulillah, sebelum tamat penggal lalu, banyak permohonan saya bawa bagi menaik taraf infrastruktur di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

“Semalam (Isnin) saya dimaklumkan bahawa salah satu permohonan iaitu jalan di Taman Mesra Rim telah pun dinaik taraf menerusi kerja-kerja turapan semula.

“Terima kasih MPJ atas kerja-kerja yang dilakukan. Insya-Allah, selepas ini banyak lagi yang akan kita laksanakan demi kesejahteraan keluarga DUN Rim,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Terdahulu dalam hantaran Facebook nya juga, Khaidhirah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Rim atas kepercayaan, sokongan dan peluang diberikan kepadanya sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Terima kasih kepada jentera Barisan Nasional (BN), khususnya jentera BN DUN Rim, BN Jasin, BN Ledang dan BN Pagoh selaku bahagian angkat, selain semua pihak yang membantu sepanjang perjalanan ini.

“Segala pengorbanan masa, tenaga dan sokongan diberikan oleh semua pihak amat dihargai dan akan sentiasa dikenang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post TUNAI JANJI MANIFESTO JADI MISI SETPOL KETUA MENTERI