
SEMBUNYI KERESAHAN SEBALIK SENYUMAN, TAK SANGGUP LIHAT ANAK DERITA KANSER
DURIAN TUNGGAL 7 November – Sebagai ibu Noraslinda Abd Rahman, 44, menyembunyikan keresahan dalam diri sebalik senyuman setiap kali memandang wajah anaknya Nur Aimi Zuhairah, 14, kini sedang berjuang melawan kanser darah.
Dia berharap senyuman daripada seorang ibu menjadi terapi dan membakar semangat Nur Aimi Zuhairah untuk sentiasa bersemangat selepas remaja itu disahkan menghiap kanser darah pada 2023 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Katanya, Nur Aimi yang juga anak ketiga daripada lima adik-beradik mula menjalani rawatan kimoterapi pada Januari 2024 dan menunjukkan perkembangan yang amat positif hasil penilaian daripada doktor.
“Namun hasil pemeriksaan darah pada Mac lalu doktor mengesahkan sel kanser kembali merebak berikutan itu anak terpaksa menjalani semula rawatan kimoterapi dan mengambil ubat. Sekarang kami sedang menunggu tarikh daripada doktor bagi menjalani prosedur transplan darah.
“Setakat ini proses itu belum dapat dilaksanakan berikutan keadaan paru-paru anak yang belum cukup kuat, jadi perlu tunggu ujian seterusnya. Alhamdulillah abangnya Muhamad Dadif Qusyairi Muhamad Hafidz, 16, akan jadi penderma selepas kami sekeluarga menjalani pemeriksaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Noraslinda dan suami Muhamad Hafidz Ali, 42, menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang singgah untuk menziarahi Nur Aimi Zuhairah di kediaman mereka di Batu 11, Kampung Pulau, Durian Tunggal bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Ziarah itu turut disertai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.
Katanya, dapat berjumpa Ketua Menteri bukan sahaja menggembirakan Nur Aimi Zuhairah, sebaliknya turut membawa berita gembira buat mereka sekeluarga.
“Saya dan suami turut memohon bantuan untuk menyediakan bilik khas untuk anak selepas dia menjalani proses transplan darah. Ketua Menteri, Exco dan Adun kawasan ambil maklum keperluan Nur Aimi Zuhairah.
“Antara pilihan sekarang adalah menyewa sebuah kediaman lain atau membaik pulih rumah arwah bapa saya. Selepas proses berkenaan anak perlu menjalani kuarantin dalam persekitaran benar-benar bersih bagi mengelakkan risiko mengalami masalah kesihatan lain.
“Kami dimaklumkan pada kebiasaan antibodi pesakit akan lemah selepas menjalani prosedur itu. Kami berasa lega selepas permasalahan anak mendapat perhatian Ketua Menteri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


