Sorting by

×

WRUR: TITIK MULA LEMBARAN BAHARU DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 November – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang melabuhkan tirainya malam tadi menjadi permulaan kepada lembaran baharu dalam usaha menyantuni dan mendekati rakyat, khususnya penduduk di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, penganjuran WRUR selama dua minggu itu berjaya mendekatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan WRUR, sebanyak 228 program dilaksanakan dengan pelibatan pelbagai agensi, jabatan serta komuniti setempat.

“Sepanjang WRUR DUN Durian Tunggal ini sebanyak 214 aduan diterima dan daripada jumlah itu, 49 aduan telah berjaya diselesaikan, manakala baki selebihnya kini dalam perhatian serta tindakan segera agensi berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan WRUR DUN Durian Tunggal yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zahari berkata WRUR bukan sekadar platform penyelesaian aduan, sebaliknya satu pendekatan holistik dalam mengenal pasti keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

Tambahnya, 76.3 peratus penduduk Durian Tunggal berada dalam kelompok produktif berusia antara 15 hingga 64 tahun, sekali gus menggambarkan potensi besar kawasan itu sebagai penyumbang utama kepada pembangunan negeri.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, DUN Durian Tunggal kini mempunyai lebih 53,000 penduduk, menjadikannya antara kawasan yang berkembang pesat. Komposisi penduduk terdiri daripada 71 peratus bumiputera, 21 peratus masyarakat Cina, 7.4 peratus masyarakat India, dan selebihnya lain-lain kaum.

“DUN ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti sebuah klinik kesihatan, dua klinik desa, satu klinik komuniti, sebuah balai polis serta balai bomba yang berperanan menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kemudahan ekonomi dan perkhidmatan turut berkembang pesat dengan 22 bengkel kereta, 16 kedai runcit, empat kedai dobi, dua farmasi dan dua stesen minyak beroperasi aktif di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, aspek pendidikan juga menjadi kekuatan utama DUN Durian Tunggal dengan kewujudan lapan buah sekolah melibatkan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan tujuh buah sekolah rendah, di mana lebih 4,800 murid dibimbing 382 guru yang berdedikasi.

“Semua data ini bukan sekadar angka, tetapi menggambarkan semangat, perjuangan dan harapan rakyat Durian Tunggal yang menjadi asas kepada pelaksanaan WRUR ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post ‘HEBAT’ SIRI KEDUA: LEBIH 20 JABATAN, AGENSI TAWARKAN PERKHIDMATAN UNTUK RAKYAT
Next post ‘HEBAT’ TEMUI RAKYAT SETIAP 3 BULAN