Sorting by

×

‘HEBAT’ SIRI KEDUA DIADAKAN 13 NOVEMBER, PLATFORM SANTUNI MASALAH RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 November – Permasalahan dan aduan yang disampaikan rakyat menerusi program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) dapat membantu Kerajaan Negeri dalam merangka pembangunan Melaka yang lebih mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi HEBAT, Kerajaan Negeri akan memastikan semua masalah rakyat khususnya membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri disantuni dan diambil perhatian untuk diselesaikan.

Jelas beliau, berbeza dengan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), HEBAT membolehkan rakyat dari seluruh Melaka datang untuk bertemu kesemua Exco Kerajaan Negeri bersama agensi terlibat untuk menyuarakan pelbagai aduan atau masalah.

Menurut Ketua Menteri, ia termasuklah membabitkan isu tanah, saman, kebajikan cukai, banjir atau berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Menerusi HEBAT ini kita membuka peluang seluas-luasnya dan cuba menyelesaikan sebaik mungkin semua masalah rakyat untuk disantuni. Insya-Allah kita akan berikan jalan penyelesaian terbaik untuk masalah yang dibawa.

“Walaupun semua itu tidak dapat diselesaikan dalam sekelip mata, tetapi sekurang-kurangnya tindakan dapat diambil dan mencari jalan penyelesaian.

“Kita mungkin tidak dapat hendak menjangkau seluruh Melaka tetapi apabila rakyat datang, kita boleh masukkan (aduan) dalam ‘data base system’ dalam merangka pembangunan Melaka pada masa akan datang,” katanya selepas bersiaran langsung dalam segmen Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, menerusi penganjuran siri pertama HEBAT, hampir 200 permasalahan diterima dan daripada jumlah itu 80 peratus berjaya diselesaikan.

Justeru, beliau berkata, HEBAT siri kedua akan diadakan pada 13 November ini, di mana, Kerajaan Negeri mengalu-alukan rakyat untuk hadir dan menyuarakan permasalahan dihadapi.

“Selain sesi bersama barisan Exco, HEBAT juga dimeriahkan dengan pelbagai pengisian dan perkhidmatan terus kepada rakyat termasuk turut dibawakan kaunter perkhidmatan bergerak daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan sebagai nilai tambah untuk memudahkan pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post WRUR: RM82.5 JUTA TAMBAH BAIK INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN DURIAN TUNGGAL
Next post WRUR: SMK DURIAN TUNGGAL TERIMA DUA KIPAS GERGASI SUMBANGAN KETUA MENTERI