
PAK SU ‘PENJAGA’ 600 KERIS WARISAN
AYER KEROH 11 November – Minat mendalam terhadap seni warisan Melayu mendorong Che Su Deraman, 60, atau ‘Pak Su’ mengumpul serta menjual keris sejak lebih sedekad lalu.
Bermula sekadar suka-suka, hobinya itu kini berkembang sehingga dia memiliki lebih 600 bilah koleksi keris pelbagai negeri.
Pak Su, anak kelahiran Kelantan yang kini menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, turut membawa golok, pisau dan pedang ke pameran-pameran di seluruh negara, termasuk pada Seminar Warisan Nusantara di Melaka.
“Sebenarnya saya tidak menghasilkan keris ini. Saya beli daripada galeri-galeri tempatan dan kemudian saya jual, sudah lebih 26 galeri saya rujuk di seluruh Malaysia.
“Meskipun tidak berniat untuk berniaga pada awalnya, tanpa sedar saya telah membelanjakan lebih RM100,000 demi mengumpul koleksi ini.
“Saya pernah tanya ustaz kenapa saya jadi ‘gila’ keris, ustaz itu kata mungkin saya terpanggil untuk wariskan seni ini supaya tidak hilang dek zaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai identiti keris tersendiri seperti keris Terengganu, Perak, Kedah dan Kelantan yang dibezakan mengikut ciri-ciri seperti bentuk bilah, pamor serta ukirannya.
“Nilai keris bergantung kepada keaslian, bilah dan kualiti pamornya. Contohnya, keris bilah cantik boleh menjadi harga RM1,000.
“Kalau berpamor atau ada ukiran kalimah ayat al-Quran, nilainya lebih tinggi,” katanya sambil menunjukkan sebilah keris yang disusun rapi.
Walaupun mempunyai kedai, Pak Su lebih selesa memasarkan koleksinya melalui platform digital seperti TikTok selain pameran fizikal.
“Jualan di kedai kurang mendapat sambutan, kalau pameran begini, orang boleh lihat, pegang dan faham nilai seni keris,” katanya.
Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu bersara pada tahun 2000 dan mengakui hobinya kini menjadi satu amanah diri.
“Kalau ada seminar, insya-Allah walaupun tidak dijemput, saya akan mohon untuk sertai sekali bagi memastikan warisan ini tidak pupus,” katanya.
Bapa kepada sembilan anak dan datuk kepada 13 cucu itu percaya, keris bukan sekadar senjata, tetapi cerminan maruah, tamadun dan sejarah bangsa.
“Kalau generasi muda tidak kenal keris, maka hilanglah sebahagian jiwa Melayu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


