
MTL: BOMBA MELAKA KENAL PASTI 106 LOKASI DI MELAKA BERISIKO BANJIR
BUKIT KATIL 11 November – Sebanyak 106 lokasi di seluruh negeri Melaka dikenal pasti berisiko banjir menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, yang dijangka bermula pada 13 November ini hingga Mac 2026.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at berkata, kesemua lokasi itu adalah hasil pemantauan serta maklumat diperolehi daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, kawasan berisiko itu meliputi 53 lokasi di daerah Melaka Tengah, 27 di daerah Alor Gajah dan 26 lagi di Jasin.
“Kita sudah mengenal pasti 106 kawasan di seluruh Melaka yang berisiko dilanda banjir sama ada akibat hujan lebat, banjir kilat atau air pasang besar.
“Dari segi kesiapsiagaan anggota, kita mempunyai kira-kira 450 pegawai beruniform yang terlibat secara langsung dalam operasi, dibantu lebih 50 pegawai bukan operasi yang mengurus kewangan, perolehan dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulan November 2025 JBPM Melaka sekali gus menyempurnakan Majlis Pelancaran MTL 2025/2026.
Mohd Zaidi turut menyeru orang awam supaya segera memaklumkan kepada pasukan keselamatan sekiranya berlaku limpahan air sungai atau tanda-tanda awal banjir supaya tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Menurut beliau, JBPM sebelum ini telah menubuhkan menubuhkan Pasukan Gerak Cepat MTL 2025 di seluruh negara dan bagi negeri Melaka, pasukan yang melibatkan lebih 80 anggota itu beroperasi di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh.
“Pasukan ini bertugas secara 24 jam dan balai itu dilengkapi aset logistik termasuk lori, bot aluminium, kenderaan utiliti 4×4, terminal generator dan jaket keselamatan bagi persediaan untuk digerakkan untuk operasi dalam negeri serta negeri lain yang terjejas banjir dalam tempoh kurang tiga jam,” tambah beliau.
Selain fokus terhadap banjir, beliau berkata JBPM Melaka juga memberi perhatian kepada profil risiko bencana tempatan di setiap balai bomba, yang bukan sahaja melibatkan banjir tetapi juga kebakaran dan risiko industri.
“Setiap balai telah mengenal pasti kawasan berisiko di bawah ‘contingency plan’ masing-masing.
“Sebagai contoh, di kawasan kilang, kita telah memetakan lokasi bahan berbahaya, pili bomba terdekat, serta jarak balai yang boleh memberi respons segera dan pelan ini sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Langkah itu penting bagi mempercepatkan tindak balas kecemasan di kawasan pembangunan baharu atau kawasan industri berat yang mungkin terdedah kepada risiko kebakaran atau bencana teknikal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


