Sorting by

×

KERUING NERAM, MERAWAN SIPUT JANTAN ‘PELINDUNG’ EMPANGAN JUS

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

ASAHAN 24 November – Dua spesies pokok hutan iaitu Keruing Neram dan Merawan Siput Jantan menjadi pilihan utama pasukan sukarelawan Sahabat Mesra Alam Rimba Terpelihara (SMART) bagi Program Penanaman Pokok Hutan Restorasi Empangan Jus Fasa 2.

Pengerusi SMART, Amran Haron berkata, pemilihan pokok spesis itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian tanah serta tahap gangguan rendah daripada haiwan liar.

Katanya, jenis tanah di Empangan Jus itu adalah jenis tanah daratan yang sesuai dengan spesis tersebut.

“Setiap kawasan kita pilih spesies yang sesuai yang mana di Empangan Jus kesesuaian untuk dua spesis ini selain itu kaedah penjagaan juga tidak renyah dan mudah.

“Dalam tempoh tiga bulan sekali atau dua kali sukarelawan SMART akan datang untuk menjaga pertumbuhan anak-anak pokok hutan ini dan usaha ini penting kerana kawasan tadahan air ini menyumbang kira-kira 70 peratus kepada sumber air mentah negeri.

“Penanaman pokok hutan ini juga bertujuan mengekalkan kelembapan tanah dan merimbunkan kawasan tadahan, sekali gus mengelakkan risiko kemarau melampau seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penanaman Pokok Hutan Restorasi Empangan Jus Fasa 2 yang dirasmikan Pengawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh di Empangan Jus, di sini, 14 November lalu.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Amran memaklumkan, program restorasi di Empangan Durian Tunggal yang diselenggara oleh SMART sejak tiga tahun lalu telah menanam enam jenis pokok berikutan jenis tanahnya yang pelbagai.

“Enam jenis pokok hutan yang ditanam di Empangan Durian Tunggal adalah daripada jenis Keruing Neram; Merawan Siput Jantan; Balau; Meranti Sekawan Merah; Tenggek Burung dan Kelat Paya.

“Tujuan asal penanaman semula pokok-pokok hutan ini adalah untuk memulihkan kawasan tadahan air yang mana sebelum ini tanah-tanah ini digunakan untuk penanaman kontan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERTIMBANG INSENTIF KHAS UNTUK PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN