
PADAH LARIKAN BARANG KEMAS RM2,000, BURUH DICEKUP DI HOTEL BAJET
PAYA RUMPUT 24 November – Tidak sampai 48 jam melarikan cincin dan loket emas bernilai hampir RM2,000 di sebuah kedai emas di Taman Rambai Jaya, seorang buruh dicekup polis di sebuah hotel bajet di Melaka Raya, semalam.
Suspek berusia 34 tahun yang beralamat di Muar Johor dicekup dalam Op pintu Khas yang dijalankan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian kecurian emas itu pada Jumaat lalu oleh penjaga kaunter berusia 21 tahun.
Katanya, kejadian berlaku ketika suspek datang ke kedai berkenaan pada jam 5 petang, 21 November lalu dengan berpakaian baju berwarna putih biru untuk membeli emas.
“Pada mulanya, suspek hendak membeli rantai leher dan selepas selesai urusan memilih emas lelaki tersebut telah bersetuju untuk membeli cincin emas 1.17 gram berharga RM680 dan loket emas 2.3 gram berharga RM 1,300.
“Kemudian, suspek memberitahu akan datang semula ke kedai dan pada jam 6.50 petang apabila lelaki tersebut datang kembali ke kedai dan bersetuju untuk membeli serta meminta melihat kembali cincin dan loket emas tersebut.
“Tidak lama selepas itu, suspek bertindak melarikan diri membawa cincin emas dan loket emas berkenaan keluar dari kedai,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, hasil soal siasat, ketika ditahan, polis turut merampas sehelai baju berwarna biru bercorak warna putih atau merah bertulisan MMC pada bahagian lengan kiri dan kanan serta tulisan ’empowering the future’ pada bahagian belakang, selain sehelai seluar kargo berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Selain itu, ujar beliau, turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,050.
Hasil soal siasat, katanya, suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan telah menjual barang kemas itu kepada seorang wanita yang merupakan ‘ulat emas’ di aplikasi Facebook.
“Suspek juga mengaku telah menggunakan hasil jualan barang kemas itu untuk perbelanjaan harian dan sewan bilik hotel.
“Ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada bahan terlarang,” katanya.
Christopher berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 November.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


