
MELAKA MENUJU HAB INDUSTRI BERNILAI TINGGI, BERSEDIA UNTUK MASA DEPAN
BANDA HILIR 3 Disember – Melaka menetapkan hala tuju jelas untuk menjadi sebuah hab industri bernilai tinggi dan bersedia untuk masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, fokus utama Kerajaan Negeri adalah memberi keutamaan kepada aspek inovasi, mencipta peluang serta menerajui pertumbuhan ekonomi serantau.
Jelas beliau, sehingga kini, sebanyak 22 taman perindustrian telah dibangunkan, di mana ia memfokuskan kepada sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, automotif, pemprosesan makanan, farmaseutikal dan aeroangkasa.
Beliau berkata, bagi memperluas lagi ekosistem itu, tiga lagi taman perindustrian strategik baharu iaitu MCORP Hi-Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0 Industrial Park telah diperkenalkan.
“Kerajaan Negeri terus komited membangunkan zon perindustrian kerana kita percaya bahawa setiap pelaburan besar akhirnya mesti memberi manfaat kepada rakyat.
“Inilah usaha kita untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan rakyat Melaka menikmati secara langsung hasil pembangunan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Chief Minister Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Mengulas mengenai prestasi ekonomi Melaka pada tahun lalu, Ab Rauf memaklumkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencecah RM48.9 bilion, sekali gus mencatatkan peningkatan 4.4 peratus daripada RM46.9 bilion tahun sebelumnya.
Ujar beliau, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Melaka, iaitu menjana RM25.2 bilion daripada jumlah KDNK, diikuti sektor pembuatan dengan RM17.6 bilion.
Beliau menambah, dari tahun 2020 hingga 2024 pula, Melaka telah berjaya menarik nilai pelaburan berjumlah RM25.9 bilion, merangkumi RM14.4 bilion dalam Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan RM11.5 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


