Sorting by

×

SAMB YAKIN PRESTASI LEBIH BAIK PADA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 16 Disember – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menjangkakan peningkatan kualiti perkhidmatan pada 2026 susulan pencapaian operasi memberangsangkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu hasil sokongan daripada kakitangan memiliki semangat daya saing yang tinggi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas demi kebaikan rakyat Melaka.

“Alhamdulillah tahun 2025 SAMB mencatatkan keputusan amat positif, sehubungan itu kami menganjurkan untuk 2026 akan jauh lebih bagus.

“Usaha menyediakan bekalan air bersih berkualiti terus diperkasakan menerusi pembinaan loji-loji baharu serta melakukan rehabilitasi terhadap loji rawatan air seperti di Loji Air Bukit Sebukur dan Loji Air Bertam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam ‘The Corporate Gala Night 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di Banda Hilir, 11 Disember lalu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, ketua agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

Mohd Saleh berkata, berdasarkan komitmen berterusan daripada seluruh kakitangan, beliau yakin SAMB mampu mencatatkan jumlah keuntungan lebih baik.

“Keluarga besar SAMB seramai 756 orang adalah antara organisasi terbaik pernah saya bimbing atau terajui dan mereka sebenarnya mempunyai daya saing amat tinggi.

“Saya yakin pada tahun hadapan mereka berupaya untuk mencapai tahap lebih baik, sekali gus mencatatkan keuntungan yang lebih untuk Melaka,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, SAMB menerima dua anugerah iaitu Top Performers Award dan Top Contributors Award.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post RXZ RIDE EDITION 3.0: ‘HOMESTAY’ DI MELAKA MERIAH
Next post KELAB LIONS SUMBANG PAKAIAN SERAGAM PENGAKAP KEPADA 80 SEKOLAH DI MELAKA