Sorting by

×

KELAB LIONS SUMBANG PAKAIAN SERAGAM PENGAKAP KEPADA 80 SEKOLAH DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BUKIT BARU 16 Disember – Kelab Lions Negeri Melaka menyumbang pakaian seragam pengakap kepada 80 sekolah di negeri ini sebagai usaha mendukung perkembangan sahsiah anak-anak muda untuk terus aktif menerusi aktiviti badan beruniform.

Governor Kelab Lions District 308-B1, Sek Jin Han berkata sumbangan tersebut merangkumi 3,500 helai baju serta 1,600 seluar.

Jin Han berharap, sumbangan itu akan menarik minat lebih ramai pelajar untuk aktif dalam aktiviti kokurikulum terutamanya badan beruniform.

“Kami berpandangan aktiviti kokurikulum perlu diperkasakan dalam kalangan pelajar sekolah bagi membentuk sahsiah dan disiplin, sekali gus melahirkan pemimpin masa depan negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka kerana menyambut hasrat kami, kerjasama ini juga melengkapkan sasaran Kelab Lions untuk menjadi sebahagian daripada pendukung pembangunan holistik pelajar sekolah amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Uniform Pengakap anjuran Kelab Lions Antarabangsa Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Kerk Chee Yee di Dewan Bestari Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Hasiran Lemat dan Presiden Kelab Lion Melaka, Shermaine Sam.

Mengulas lanjur Jin Han berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada penaja dan kumpulan sukarelawan yang terlibat kerana turut bersama-sama menyumbang bagi menjalankan inisiatif dilaksanakan.

“Majlis penyerahan kali ini turut menyaksikan pembabitan pihak penaja serta kumpulan sukarelawan yang tidak putus memberikan komitmen berkaitan hal pembangunan anak-anak muda amnya.

“Kami berharap agar sumbangan sebegini dapat memberi motivasi kepada para pelajar, sekali gus menggilap peranan mereka sebagai bakal pemimpin masa hadapan negara kelak,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post SAMB YAKIN PRESTASI LEBIH BAIK PADA 2026
Next post DAPAT ILHAM KETIKA PKP, JAMBU LOHAN SOLOK GAUNG KINI JADI REBUTAN