
PBT MELAKA FOKUS JADIKAN MELAKA BERSIH, INDAH, CERIA SEPANJANG 2026
PAYA RUMPUT 16 Disember – Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) komited menjadikan Melaka sebuah negeri bersih, indah dan ceria sepanjang tahun 2026.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia memandangkan negeri ini bakal menyambut Tahun Melawat Melaka 2.0, selain negara pula akan menjadi tumpuan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Justeru, beliau berkata, imej bumi bersejarah ini sebagai negeri pelancongan perlu dijaga sebaiknya dalam menyambut ketibaan pelancong yang dijangka lebih luar biasa sepanjang tahun depan.
“Insya-Allah saya yakin dan percaya semua PBT di negeri ini akan terus memastikan aspek keceriaan, keindahan dan kebersihan di pusat-pusat pelancongan akan diberi perhatian.
“Kita percaya sepanjang 2026, lebih ramai pelancong akan datang ke negara ini, khususnya Negeri Melaka, jadi kita mahu kesemua mereka tidak kiralah pelancong domestik atau antarabangsa kagum dengan keindahan bumi Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Pusat Penjaja Terbuka Krubong Jaya, di sini, pada Sabtu, yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Dalam pada itu, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput memaklumkan, pada tahun depan juga beberapa pusat penjaja berpusat akan dibangunkan di kesemua empat kawasan pentadbiran PBT Melaka.
Jelas beliau, inisiatif itu telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, di mana ia bertujuan menyediakan lokasi perniagaan yang lebih tersusun dan selesa bukan sahaja kepada peniaga, bahkan orang ramai.
“Jadi pembukaan pusat penjaja berpusat ini akan dibangunkan secara adil di kesemua empat PBT kerana kita mahu mengurangkan penjaja yang berniaga di tepi-tepi jalan sehingga boleh membawa kepada risiko keselamatan.
“Sejak dahulu, Melaka memang merupakan negeri mesra penjaja dan kita tidak pernah menzalimi mana-mana pihak, namun faktor keselamatan peniaga dan pembeli juga perlu diberi perhatian serius.
“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri melalui PBT menyediakan inisiatif kawasan penjaja berpusat untuk membantu mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


