Sorting by

×

BANTUAN PERSEKOLAHAN MAIM LEGAKAN KESEMPITAN IBU BAPA B40

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 17 Disember – Bantuan persiapan persekolahan disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membawa makna besar dan melegakan kesempitan diharungi keluarga murid serta pelajar dalam kalangan B40.

Apa tidaknya setiap kali menjelang sesi baharu persekolahan ibu bapa atau penjaga perlu menyediakan ribuan ringgit untuk membeli keperluan anak masing-masing.

Bagi penerima bantuan, Ruzita Sahran, 46, usaha dilaksanakan MAIM memcerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesukaran ditempuh golongan kurang berkemampuan seperti dirinya.

Katanya, dia dan suami Abdul Latif Abdul Rahman, 52, mungkin berdepan kesukaran untuk membuat persiapan bagi membeli persalinan baharu persekolahan anak-anak tanpa bantuan MAIM.

“Selepas suami sakit dan tidak dapat bekerja saya menggalas tanggungjawab membiayai keperluan keluarga dengan mengambil upah mengemas rumah dan pejabat.

“Syukur alhamdulillah kedua-dua anak kami layak menerima bantuan daripada MAIM, sekarang ini saya cuma perlu mengusahakan untuk mencari wang bagi membayar yuran mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6201774618008292433
RUZITA SAHRAN.

Ibu kepada dua anak itu ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Persekolahan Kepada Anak-Anak Asnaf, Fakir, Miskin Dan Mualaf MAIM Bagi Tahun 2026M/1447H Parlimen Tangga Batu Anjuran MAIM, yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, di Japerun Sungai Udang, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Ruzita, bantuan disalurkan memberikan keselesaan kepada kedua-dua anaknya untuk ke sekolah dan diharap menjadi pembakar semangat buat mereka untuk cemerlang dalam akademik.

“Bantuan RM350 boleh dapatkan persalinan sekolah baharu termasuk juga alat tulis. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MAIM kerana amat peka dan prihatin tentang nasib rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post 142 MURID TADIKA JAIM CEMERLANG DIRAIKAN
Next post 4 AGENSI, 42 PELAJAR BERGABUNG JADI HERO SUNGAI MELAKA