
TADIKA JAIM SEMAKIN JADI PILIHAN IBU BAPA
PENGKALAN BATU 17 Disember – Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terus menjadi pilihan ibu bapa apabila mencatatkan angka kemasukan yang tinggi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sehingga kini, seramai 3,444 orang murid telah mendidikan pendidikan awal di 71 buah Tadika JAIM di seluruh Negeri Melaka.
“Permintaan ibu bapa untuk kemasukan ke Tadika JAIM terus mencatatkan angka yang tinggi. Setiap tahun, tadika ini terus mencatat pertambahan bilangan pelajar sehingga mencapai kapasiti yang penuh.
“Ini membuktikan kesedaran yang semakin meningkat mengenai kepentingan mempelajari Syiar Islam dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
“Pembelajaran syiar Islam di Tadika JAIM tidak hanya memberi impak dalam perkembangan akademik, tetapi juga dalam pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-28 bagi sesi persekolahan 2025/2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, semalam.
Tambah beliau, pendekatan holistik yang diterapkan di Tadika JAIM membolehkan murid bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga bersahsiah tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


