
KOMITMEN PERZIM PUPUK BUDAYA ILMU DIIKTIRAF
AYER KEROH 17 Disember – Usaha konsisten mewujudkan Pusat Dokumentasi PERZIM di Muzium Rakyat dan memperkukuh budaya membaca melayakkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dinobatkan johan Kategori Pejabat Kerajaan pada Anugerah Melaka Membaca 2025.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk penyediaan bahan bacaan berkualiti mengikut pengkelasan bidang dan mata pelajaran seperti sejarah, ekonomi, politik, majalah serta jurnal.
“Selaras perkembangan teknologi maklumat, PERZIM turut menyediakan sistem khas yang lebih sistematik bagi memudahkan carian serta akses bahan rujukan di pusat dokumentasi dikenali sebagai Sistem Pengurusan Perpustakaan I-Library dan Sistem Pengurusan Data Dokumentasi iCloud.
“Melalui sistem ini PERZIM berjaya mendokumentasikan pelbagai peristiwa dan aktiviti jabatan dengan lebih efisien,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Erne berkata, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan rasmi terhadap komitmen PERZIM memupuk budaya ilmu dan minat membaca dalam kalangan warga kerja serta pengunjung.
“Pengiktirafan ini secara tidak langsung meningkatkan imej PERZIM sebagai sebuah agensi kerajaan yang progresif, inovatif dan berbudaya ilmu. PERZIM turut mewujudkan sudut bacaan di pejabat-pejabat utama bagi memberi ruang kepada kakitangan berehat sambil membaca akhbar, majalah dan buku sejarah khususnya pada sebelah pagi atau waktu rehat.
“Anugerah ini mendorong kami untuk terus memperkukuh budaya membaca, sekali gus meningkatkan kreativiti, pengetahuan dan profesionalisme kakitangan,” katanya.
Terdahulu, PERZIM menerima anugerah tersebut yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada majlis berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Anugerah Melaka Membaca dilancarkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) pada 23 April 2025 sebagai langkah strategik dan progresif yang diperkenalkan dalam Bajet Negeri Melaka 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


