
YAYASAN PETRONAS BANTU RINGAN BEBAN KELUARGA SAMBUT KRISMAS
PAYA RUMPUT 17 Disember – Usaha membantu meringankan beban rakyat yang akan menyambut perayaan krismas tidak lama lagi diteruskan menerusi agihan sumbangan kepada 150 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Paya Rumput.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu dalah hasil kerjasama Yayasan Petronas yang tampil untuk menceriakan lagi sambutan krismas golongan kurang berkemampuan di kedua-dua DUN berkenaan.
Katanya, selain berkongsi rezeki usaha itu secara tidak langsung menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Bagi program kali ini Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 melibatkan kit makanan dan biskut raya.
“Pihak Japerun pula memberikan sumbangan wang tunai kepada setiap penerima,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Krismas Peringkat DUN Paya Rumput Dan DUN Sungai Udang Dengan Kerjasama Yayasan Petronas di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Paya Emas, semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Petronas Selatan, Mohd Zaki Mahat dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Refining Company Sdn Bhd, Mohd Sykry Awang Hassim.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, amat mengalu-alukan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri khususnya dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat GLC seperti Petronas kerana tidak henti-henti membantu rakyat Melaka, sebelum ini di DUN Paya Rumput mereka telah bantu anak-anak kurang berkemampuan membeli kelengkapan pakain seragam badan beruniform.
“Saya lihat sekiranya lebih banyak GLC yang tampil melakukan CSR seperti ini pastinya akan lebih meriah untuk mereka yang memerlukan menerima bantuan. Mewakili Kerajaan Negeri saya ucapkan terima kasih kepada GLC yang tidak jemu membantu menghulurkan sumbangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


