
90 PERATUS SUDAH TERIMA KAD OKU DIGITAL
BUKIT KATIL 17 Disember – Serahan kad OKU Digital kepada golongan orang kurang upaya (OKU) seluruh Melaka bagi 2025 setakat ini sudah mencapai 90 peratus.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, angka itu mencerminkan kesungguhan serta komitmen berterusan Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM) dalam memastikan keperluan OKU di Melaka sentiasa diutamakan.
Menurutnya, penyerahan Kad OKU Digital dilaksanakan secara bersemuka berikutan ada dalam kalangan OKU berdepan kekangan untuk hadir ke pejabat JKM berikutan mengalami masalah kesihatan atau tidak memiliki kenderaan.
“Pada asasnya kita menggalakkan urusan berkaitan kad OKU Digital ini dilakukan di pejabat JKM, tetapi bagi sesetengah kes JKM akan turun padang, serahan secara fizikal atau bersemuka lebih praktikal.
“Kad ini penting dan amat berguna jadi kepada yang belum diharap tampil untuk membuat pendaftaran segera,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sambutan Hari Lahir Pelatih OKU Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Baru sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bukit Katil di Kampungku Sayang, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari.
Terdahulu, Kalsom meraikan seramai 37 pelatih PPDK Bukit Baru dalam satu program yang disifatkan sebagai murni, termasuk penyampaian penghargaan serta sambutan hari lahir pelatih OKU.
Beliau turut memaklumkan PPDK Bukit Baru kini menempatkan 37 klien dengan sokongan lima orang guru, disifatkan mencukupi berdasarkan nisbah sedia ada bagi memastikan kebajikan dan pembangunan pelatih terus terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


