Sorting by

×

MELAKA ANJUR 1,150 JUALAN RAHMAH, HAMPIR 1 JUTA PENGUNJUNG DAPAT MANFAAT

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 Disember – Sebanyak 1,150 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dianjurkan di seluruh Negeri Melaka setakat Januari hingga 14 Disember tahun ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, penganjuran itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 999,470 orang pengunjung yang hadir dan membeli pelbagai barangan pada harga jauh lebih rendah dari pasaran.

Jelas beliau, antara PJRM yang dianjurkan di negeri ini adalah seperti PJRM Bergerak, PJRM Premis, PJRM Musim Perayaan, PJRM @Pasar, dan PJRM @Kampus, di mana, setiap barang keperluan yang dijual adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.

“Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa PJRM telah berjaya memberi impak positif dan berkesan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri dan Persekutuan sangat komited membantu rakyat dan KPDN Melaka turut cakna dengan situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat khususnya di negeri Melaka,” katanya selepas merasmikan PJRM Kembali Ke Sekolah di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.

Dalam pada itu, Allex berharap PJRM pada tahun depan akan terus membantu lebih ramai rakyat Melaka mendapat manfaat dalam usaha mendepani cabaran kos sara hidup masa kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post ‘HADIAH’ RM600 TANDA KOMITMEN HARGAI JASA PESARA
Next post LARANGAN DEKORASI KRISMAS DI PREMIS BERSIJIL HALAL, TERTAKLUK GARIS PANDUAN JAKIM