
UNIMEL LAKSANA INISIATIF MOBILITI HIJAU, KAMPUS LESTARI
KUALA LINGGI 18 Disember – Komitmen Melaka dalam memperkasa inisiatif hijua sekali lagi diterjemahkan merusi pengenalan perkhidmatan sewaan motosikal elektrik di Kampus Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, inisiatif itu juga membuktikan komitmen UNIMEL ke arah pemerkasaan kampus lestari melalui penggunaan mikromibiliti berasaskan motosikal elektrik.
Katanya, usaha itu hasil komitmen UNIMEL, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Superlux Sdn Bhd iaitu rakan pengendali yang mengurus penyediaan motosikal, sistem sewaan serta penyelenggaraan.
“Usaha ini membawa kepada satu lonjakan baharu inovasi pengangkutan dan pergerakan warga kampus UNIMEL. Saya difahamkan inisiatif ini dimulakan awal Disember dengan menempatkan 20 unit motosikal elektrik sekitar kolej kediaman dan Dataran Siswa UNIMEL sebagai permulaan.
“Corak penggunaan direkodkan menerusi aplikasi Hapi Ride dibangunkan Superlux Sdn Bhd menunjukkan peningkatan ketara, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan mobiliti hijau di kampus,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Teknologi Hijau Negeri Melaka: Mikromibiliti Kampus di Dewan Auditorium Ibnu Khaldun UNIMEL, di sini, hari ini.
Hadir sama Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Ts. Noramirul Nizam Kamis dan Ketua Pegawai Eksekutif, Superlux Sdn Bhd, Fahmi Barakbah Mohamed Salleh.
Zulkiflee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning berkata, susulan sambutan memberangsangkan ditunjukkan warga UNIMEL, PTHM berhasrat memperluaskan perkhidmatan sewaan motosikal elektrik ke universiti awam dan swasta seluruh Melaka.
Menurutnya lagi, perkhidmatan sama juga mungkin diperluaskan ke lokasi tumpuan pelancongan di Melaka seperti Banda Hilir.
“Diharapkan inisiatif sudah terlaksana ini menjadi ikutan institusi pengajian tinggi (IPT) lain di Melaka, bersama-sama kita mempromosikan mikromibiliti dan kelestarian kampus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


