Sorting by

×

WRUR BUKIT KATIL: BEKAS KOMANDO ATM DICADANG ISI KEKOSONGAN AKPS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BUKIT KATIL 19 Disember – Kementerian Pertahanan akan menyelaras proses temuduga melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengisi kekosongan jawatan di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, proses itu dijadualkan bermula Januari 2026 dan dilaksanakan susulan pengumuman Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengenai 220 kekosongan jawatan di agensi berkenaan.

“Calon bagi mengisi kekosongan itu melibatkan anggota unit khas ATM termasuk Rejimen Gerak Khas (RGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang telah atau bakal menamatkan perkhidmatan.

“Mereka ini anggota yang sangat terlatih dalam melaksanakan operasi di darat, laut dan udara. Proses pengambilan dan temu duga akan dilaksanakan sepenuhnya oleh AKPS menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), sementara itu Kementerian Pertahanan pula melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan menyediakan senarai calon berpotensi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta kenamaan lain.

Beliau berkata, setakat ini jumlah akhir veteran yang akan diserapkan belum dimuktamadkan dan bergantung kepada keputusan temu duga oleh AKPS.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa bersiap siaga membantu mangsa banjir di seluruh negara melalui kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“ATM mempunyai arahan tetap dan kem di setiap negeri. Apabila berlaku banjir, anggota kita akan digerakkan tanpa perlu menunggu arahan baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post WRUR BUKIT KATIL: BANGUNAN TAMBAHAN PPKI DEMI KESELESAAN ANAK BERKEPERLUAN KHAS – KM
Next post WRUR BUKIT KATIL: AB RAUF LUANG MASA SANTUNI WARGA EMAS